Kapal Mewah Jho Low “Equanimity” Dibeli Pada Harga RM514juta,.

Share this:

KUALA LUMPUR: Kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, akan dijual kepada Genting Malaysia Bhd (Genting) ataupun Syarikat Tujuan Khas (SPV) miliknya pada harga AS$126 juta (RM514 juta).

Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata keputusan terbabit dibuat selepas Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur hari ini (3 April) memberikan kelulusan menerima tawaran untuk membeli Equanimity daripada Genting atas Terma-terma dan Syarat-syarat Syerif.

Beliau berkata, jumlah terbabit adalah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan, sejak Oktober 2018, apabila Equanimity diumum untuk dijual berbanding pelbagai tawaran dengan hanya sebilangan kecil saja yang melebihi AS$100 juta (RM408 juta).

“Genting menawarkan harga tertinggi, yang pada hari ini sudah diluluskan oleh mahkamah, malah tiada komisyen ejen yang perlu dibayar kerana tawaran terbabit dibuat secara runding terus dengan Kerajaan Malaysia. Ini membawa kepada penjimatan sebanyak AS$4.4 juta (RM17.9 juta).

“Biarpun penilaian harga pasaran Equanimity oleh Winterbotham sebanyak AS$130 juta (RM530 juta) tidak dicapai, pulangan bersih kepada Kerajaan Malaysia ialah yang sebaiknya, kalaupun tidak lebih baik daripada yang dijangkakan.

“Mahkamah akan menerima jumlah bayaran daripada Genting pada penghujung April ini dan ia bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk Kerajaan Malaysia iaitu cuma lapan bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (3 April).

Thomas berkata, jualan kehakiman pada nilai yang diperoleh adalah bersejarah, yang merekodkan tanda aras tinggi bagi sistem kehakiman negara dalam memastikan nilai pasaran diperoleh daripada kapal yang dijual melalui proses Mahkamah, tanpa sebarang diskaun.

“Harga jualan yang sangat memuaskan ini berjaya dicapai sebahagian besarnya melalui kepakaran dan kemahiran Kumpulan Perundangan mewakili Kerajaan Malaysia.

Saya berikan penghormatan kepada kumpulan ini yang bertindak melangkaui tuntutan tugas mereka, bergerak untuk bertemu dengan pembeli berpotensi di Hong Kong dan London, dengan menanggung sendiri kos perjalanan.

“Usaha mereka dilengkapi dengan kerjasama Syerif Mahkamah yang tangkas dan mantap serta sikap profesionalisme dan kesediaan Hakim Admiralti untuk bertindak dalam keadaan yang amat luar biasa.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga bermurah hati memberikan ruang untuk Equanimity berlabuh selama lebih lima bulan, tanpa sebarang caj dikenakan,” kata Thomas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *